Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

KAI.Sel26 Catat Transaksi Hampir RM2 Juta, Tarik Lebih 25,000 Pengunjung

By 12 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Rosliza Ibrahim (Kuala Langat)

KUALA LANGAT, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAI.Sel26) mencatatkan nilai transaksi hampir RM2 juta serta menarik kehadiran lebih 25,000 pengunjung sepanjang penganjurannya di tiga zon di seluruh Selangor.

EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata pencapaian itu membuktikan sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat terhadap program yang menggabungkan pelbagai pengisian keagamaan bersama Jelajah Pengurusan Halal Selangor.

“KAI.Sel26 membuktikan program berteraskan dakwah dan penyampaian perkhidmatan kerajaan masih mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat apabila dilaksanakan secara menyeluruh dan dekat dengan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Agensi Islam Selangor 2026 Zon 3 di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, di sini, hari ini.

Beliau berkata karnival itu bukan sahaja menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan agensi-agensi Islam negeri, malah meningkatkan kefahaman mengenai pelbagai perkhidmatan, inisiatif dan pengurusan halal yang disediakan kepada rakyat.

Sepanjang penganjurannya, KAI.Sel26 menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk dakwah, pendidikan Islam, khidmat komuniti, pameran agensi, pemeriksaan halal, jualan usahawan serta program kekeluargaan yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama agensi-agensi Islam negeri itu turut memperkukuh usaha kerajaan negeri memperluaskan penyampaian maklumat dan perkhidmatan kepada masyarakat menerusi pendekatan yang lebih mesra rakyat dan inklusif, selain mengeratkan hubungan antara institusi agama dengan masyarakat serta membudayakan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

Majlis penutup turut dihadiri Pegawai Daerah Kuala Langat, Orang Besar Daerah Kuala Langat serta ketua-ketua jabatan.

-AA-

Tinggalkan komen anda