
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan telah melancarkan Program Kembara Rumah Ibadat sebagai satu inisiatif proaktif untuk merapatkan jurang antara pihak polis dan masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata program itu memfokuskan kerjasama dua hala dalam menyalurkan maklumat keselamatan serta memberi pendedahan mengenai trend jenayah semasa di pulau itu.
“Program ini menjadi platform terbaik bagi memperkenalkan barisan baharu kepimpinan polis, termasuk Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Polis Balai, Skuad Aman Wanita (AMANITA) serta pegawai-pegawai khas kepada komuniti.

Wan Mohd Firdaus (tengah) semasa diberi penerangan oleh Pengerusi Tokong Kwong Fook Kong, Datuk Chin Hon Vui (kanan).
“Langkah ini bertujuan memudahkan masyarakat membuat aduan serta mendapatkan bantuan segera, khususnya berkaitan modus operandi jenayah terbaharu,” katanya ketika ditemui media semasa program itu, di sini hari ini.
Menurutnya, fasa pertama program tersebut menyasarkan rumah-rumah ibadat seperti gurdwara, tokong, dan kuil kerana ia merupakan pusat tumpuan masyarakat majmuk di Labuan,” katanya.
“Selepas ini IPD Labuan merancang untuk memperluaskan program ini melibatkan sekolah-sekolah bagi menangani isu salah laku remaja seperti buli dan kekerasan, diikuti dengan penglibatan bersama persatuan-persatuan tempatan,” katanya.
-RI




