
Laporan/Foto :Najib Juanis (Papar)
PAPAR, 17 Jul (MalaysiaAktif) -Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Sabah perlu dijadikan sebagai platform untuk memupuk semangat kesukanan, disiplin sekali gus menampilkan akhlak yang baik dalam kalangan pelajar sekolah agama.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Juri Awang Tahir berkata pembangunan kokurikulum dalam institusi pendidikan agama akan terus diberi penekanan seiring dengan kecemerlangan akademik.
“Ini penting bagi melahirkan generasi yang berilmu, berkeperibadian unggul dan memiliki daya tahan untuk menghadapi cabaran masa depan.
“Penyertaan yang memberangsangkan membuktikan budaya bersukan dalam kalangan sekolah agama semakin berkembang dan mendapat sambutan yang amat positif. KESSUMA Sabah menjadi medan memilih atlet terbaik yang akan membawa cabaran negeri ke KESSUMA Malaysia di Johor.
“Kita percaya kecemerlangan pendidikan bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan tetapi turut diterjemahkan menerusi pembentukan sahsiah, disiplin, kepimpinan, kecergasan fizikal dan keupayaan pelajar berinteraksi secara positif dalam masyarakat,” katanya semasa Majlis Perasmian KESSUMA baru-baru ini.
Untuk rekod seramai 700 atlet daripada enam Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan sebuah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) menyertai kejohanan berkenaan yang bersaing dalam 11 acara bagi Kategori A dan Kategori B dengan keseluruhan 118 pingat emas.
Majlis disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pantai Manis, Papar, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah dinobatkan sebagai Johan KESSUMA Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-20 dengan 25 pingat emas, 20 pingat perak dan 11 pingat gangsa.
-RJ-





