Skip to main content
Berita TempatanSarawak

NREB Luas Pengawasan Alam Sekitar Menerusi Pejabat Bahagian Kapit

By 15 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Budin Gumbang/Daniel Jong (Kapit)

KAPIT, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak terus memperkukuh pengurusan serta pengawasan alam sekitar di wilayah tengah negeri ini menerusi pembukaan rasmi Pejabat NREB Bahagian Kapit di Pekan Beleteh, semalam.

Perasmian pejabat tersebut disempurnakan oleh Kontroller Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam sebagai inisiatif strategik bagi mempercepat penyampaian perkhidmatan dan pelaksanaan penguatkuasaan.

Menurut beliau, penubuhan pejabat itu penting bagi penyusunan semula organisasi NREB untuk meningkatkan kecekapan pemantauan, khususnya di kawasan yang mempunyai keluasan geografi besar.

“Kapit merupakan salah satu bahagian pentadbiran terbesar di Sarawak dengan keluasan kira-kira 38,934 kilometer persegi.

“Kewujudan pejabat ini amat penting memandangkan Kapit menempatkan projek pembangunan berskala besar seperti Projek Hidroelektrik Baleh yang memerlukan pemantauan alam sekitar yang rapi,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan fasiliti itu akan berfungsi sebagai pusat operasi bagi melaksanakan pemantauan pematuhan, pemeriksaan tapak, penyiasatan aduan, penguatkuasaan undang-undang serta program pendidikan dan kesedaran awam.

Selain itu, ia dijangka memperkukuh kerjasama antara NREB dan pelbagai agensi dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara mampan serta mematuhi keperluan perlindungan persekitaran.

Secara keseluruhannya, pembukaan pejabat NREB tersebut bakal meningkatkan kecekapan agensi kepada masyarakat dan pihak industri seiring dengan kepesatan pembangunan di Bahagian Kapit.

-RJ-

Tinggalkan komen anda