Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Komuniti MADANI Diseru Perangi Jenayah Dalam Talian

By 48 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Aniss Rahin (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah penipuan dalam talian terus diperkukuh menerusi usaha meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai pelbagai taktik yang digunakan sindiket scammer bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan.

Inisiatif itu diterjemahkan menerusi Program Sembang Santai Bersama Komuniti MADANI Padang Tara yang diadakan semalam bagi memberi pendedahan kepada penduduk mengenai ancaman jenayah penipuan dalam talian serta langkah pencegahannya.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Damzi Deresal, 45, berkata program itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya celik digital dan keselamatan siber, selain meningkatkan kewaspadaan masyarakat terhadap jenayah penipuan yang semakin berleluasa.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan komuniti sentiasa peka terhadap ancaman jenayah siber dan mampu menjadi benteng pertama dalam membanteras penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Inspektor Muhammad Azrul Afzan Mohtar mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran yang terlalu lumayan, tidak berkongsi maklumat perbankan atau kod TAC/OTP dengan mana-mana pihak serta sentiasa membuat semakan sebelum melakukan sebarang transaksi.

Beliau turut menyeru masyarakat agar saling mengingatkan ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan supaya lebih berhati-hati serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah penipuan dalam talian.

Sepanjang program, peserta diberikan penerangan mengenai modus operandi scammer, kaedah mengesahkan kesahihan panggilan atau mesej yang diterima serta tindakan yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa penipuan.

-AA-

Tinggalkan komen anda