Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Latih Amal Ex-Urban Falcon 2026 Uji Kesiapsiagaan Bencana Udara Di Luar Lapangan Terbang

By 8 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SHAH ALAM, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Malaysia mencipta sejarah apabila melaksanakan simulasi kemalangan pesawat berskala penuh pertama di luar perimeter lapangan terbang menerusi Latih Amal Ex-Urban Falcon 2026, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi insiden nahas udara di lokasi luar lapangan terbang.

Latihan yang berlangsung di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) semalam itu melibatkan Malaysia Airports bersama lebih 20 agensi kerajaan dan swasta bagi menguji keupayaan penyelarasan operasi menyelamat serta tindak balas kecemasan mengikut Pelan Kecemasan Aerodrom.

Agensi penyelamat sedang berkerjasama dalam Latih Amal Ex-Urban Falcon 2026 di Denai Alam

Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Muhammad Hidayat Ismail berkata, latihan itu memastikan semua agensi bersedia bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) sekiranya berlaku nahas pesawat di luar kawasan lapangan terbang.

“Objektif kita melaksanakan latihan amal ini untuk memastikan tahap kesiapsiagaan Malaysia Airports dan semua agensi tindak balas berada pada tahap terbaik sekiranya berlaku nahas pesawat di luar lapangan terbang,” katanya ketika ditemui media.

Menurutnya, simulasi kali ini unik kerana diadakan kira-kira enam kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, berbeza latihan terdahulu yang hanya dijalankan berhampiran pagar lapangan terbang.

Latihan itu menggunakan senario pesawat ATR 72 Melati Air yang membawa 70 penumpang dan kru mengalami masalah enjin sejurus berlepas dari LTSAAS sebelum terhempas berhampiran R&R Denai Alam.

Muhammad Hidayat berkata, semua agensi yang terlibat berjaya melaksanakan operasi mengikut SOP, termasuk pemadaman kebakaran, menyelamat mangsa serta proses pengenalpastian mayat dengan berkesan.

Katanya, latihan berkenaan menjadi titik permulaan penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana udara yang jarang berlaku, khususnya membabitkan insiden di luar kawasan lapangan terbang.

Seramai 450 peserta daripada lebih 20 agensi menyertai latihan dua fasa itu, meliputi Tabletop Exercise dan Full Scale Exercise.

-AA-

Tinggalkan komen anda