
Laporan/foto: Syed Hisham (Putrajaya)
SHAH ALAM, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih seribu sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kumpulan pertama mula melaporkan diri dan sedia beraksi sempena temasya sukan tersebut bermula 15 Ogos nanti.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Selangor, merangkap Penyelaras Sukarelawan & Gerakan Komuniti Temasya SUKMA XXII dan Para-SUKMA Selangor 2026, Syamsul Tahrin bin Mohd Tahir, memaklumkan sebanyak lebih 30 ribu permohonan diterima dan seramai 3,000 peserta disenarai pendek dan seribu peserta kumpulan pertama dipanggil taklimat hari ini.
“Objektif utama pertemuan pada hari ini adalah untuk melengkapkan sukarelawan ini dengan ilmu-ilmu dan nilai-nilai sukarelawan yang tinggi. Kita ingin membentuk satu pasukan sukarelawan SUKMA yang berdisiplin dan penuh nilai jati dirinya.
“Hari ini juga kita akan bekalkan mereka dengan maklumat-maklumat berkaitan sukarelawan,” katanya yang ditemui di Pusat Konvensyen MBSA, di sini hari ini.
Menurut Syamsul, terdapat tiga kategori sukarelawan yang dirancang iaitu sukarelawan teknikal, sukarelawan bawah jawatankuasa kecil dan jawatankuasa kerja, serta pasukan sorak.
“Tiga fokus inilah sukarelawan yang akan kita mantapkan untuk edisi kali ini, tambahnya.
Sukarelawan SUKMA edisi ke-22 dipilih dalam kalangan penjawat awam, pekerja swasta, pelajar institut pengajian tinggi serta belia yang akan bertugas di 54 venue pertandingan dengan 37 acara dipertandingkan pada temasya kali ini.
-RI




