Skip to main content
Berita TempatanSabah

RM70.6 Juta Atasi Kesesakan Jalan Lok Kawi-Kinarut

By 10 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Najib Juanis (Papar)

PAPAR, 28 Jul (MalaysiaAktif)– Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut dijangka akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna di Koridor Lok Kawi Pengalat-Papar yang semakin pesat membangun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata projek bernilai RM70.6 juta itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah.

“Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini menjadi antara kawasan yang berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah dan produk pelancongan.

“Perkembangan itu menyebabkan peningkatan jumlah trafik sehingga menimbulkan kesesakan terutama pada waktu puncak, sekali gus menjadi antara keluhan utama pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, di WSG Kinarut Show Gallery hari ini.

Hajiji Noor (tengah) melakukan simbolik perasmian Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut.

Hajiji berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dan kelulusan projek berkenaan membuktikan suara dan keperluan mobiliti rakyat Sabah sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

“Skop projek itu bukan sekadar melibatkan pelebaran jalan, malah turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan pengguna. Antara kemudahan yang disediakan ialah pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta perlindungan motosikal yang akan memberi manfaat kepada murid, pejalan kaki dan pengguna jalan raya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Semua jabatan dan agensi utiliti yang terbabit perlu bertindak pantas menyelesaikan sebarang isu teknikal supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan bagi memastikan kejayaannya,” tambahnya.

Dalam ucapannya Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Kedua dan Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah Di Sepanjang Tabing Sungai Intake Kogopon serta Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai yang dipohoh oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali untuk kemudahan dan kepentingan rakyat Papar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda