Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Lukisan Muka Percuma Curi Tumpuan Pengunjung Festival Belia Pahang 2026

By 21 seconds yang laluTiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farah Shaherza (Kuantan)/KKPB

KUANTAN, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Aktiviti lukisan muka secara percuma yang dikendalikan oleh pelajar Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) mencuri perhatian pengunjung sempena Festival Belia Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang bermula 10 Julai dan berakhir kelmarin.

Aktiviti yang ditaja oleh Majlis Belia Negeri Pahang itu menerima sambutan menggalakkan, khususnya daripada kanak-kanak dan golongan belia.

Selain memeriahkan festival, program tersebut turut menjadi platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran serta menyerlahkan kreativiti dalam bidang seni visual kepada masyarakat.

Pelajar Semester Satu Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan KKPB Ummi Salihah Che Mustafa, 18, berkata peluang menyertai program berkenaan memberikan pengalaman bermakna walaupun beliau belum genap sebulan memulakan pengajian.

“Saya sangat teruja kerana diberi peluang menyumbangkan bakat dalam program besar seperti ini walaupun baru sahaja memulakan pengajian.

“Pengalaman ini bukan sahaja dapat mengasah bakat seni lukisan, malah membantu membina keyakinan diri untuk berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Festival yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, sukan dan keusahawanan, selaras dengan aspirasi ‘Menggerak Belia MADANI’ sempena sambutan Hari Belia Negara 2026.

-RI

Tinggalkan komen anda