
Laporan/foto: Muhamamd Syafiq (Kubang Pasu)
KUBANG PASU, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Fenomena awan karpet yang dapat disaksikan pada waktu awal pagi di Bukit Telipong terus menjadi tarikan kepada pencinta alam dan penggemar aktiviti mendaki sekali gus menjadikan lokasi itu antara destinasi pilihan untuk menikmati keindahan alam semula jadi, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti.
Hamparan awan yang menyelubungi kawasan sekitar, digabungkan dengan panorama matahari terbit yang mempesonakan, memberikan pengalaman unik kepada pengunjung yang sanggup memulakan pendakian seawal pagi bagi menyaksikan fenomena tersebut.
Seorang pendaki, Izwan Ismail, 28, berkata beliau tidak melepaskan peluang mendaki Bukit Telipong bagi menikmati sendiri keindahan awan karpet yang hanya dapat disaksikan apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Keindahan fenomena awan karpet di Bukit Telipong, Changlun terus memikat hati pengunjung dan pencinta alam yang sanggup mendaki seawal pagi demi menikmati panorama yang memukau.
“Apabila cuaca mengizinkan, pemandangan awan karpet di puncak Bukit Telipong memang sangat indah dan memberikan ketenangan. Pengalaman ini sukar digambarkan dengan kata-kata dan membuatkan saya ingin datang lagi,” katanya.
Menurutnya, Bukit Telipong mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi ekopelancongan sekiranya kemudahan asas seperti kawasan parkir, papan tanda arah, laluan pendakian serta aspek keselamatan dipertingkatkan.
Tinjauan mendapati kebanyakan pengunjung berpuas hati dengan panorama yang ditawarkan dan menyifatkan Bukit Telipong sebagai lokasi sesuai untuk aktiviti riadah, rekreasi dan menikmati keunikan alam semula jadi bersama keluarga serta rakan-rakan.
Fenomena awan karpet yang menjadi identiti Bukit Telipong dilihat berpotensi meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar kawasan, sekali gus merancakkan sektor ekopelancongan serta memberi limpahan manfaat kepada ekonomi komuniti setempat di daerah Kubang Pasu.
-RI







