
Laporan/foto: Dr. Nur Aishah Zainal (Melaka)/Facebook Ab Rauf Yusoh
PENGKALAN RAMA, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Melaka mencatat pencapaian baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi rekod “Pembuatan Kuih Keria Terbanyak” serta “Replika Konda Kondi Terbesar”.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pencapaian itu wajar menjadi kebanggaan rakyat Melaka kerana bukan sahaja mencerminkan keunikan warisan negeri, malah berpotensi memperkukuh sektor pelancongan Melaka.
“Pengiktirafan yang dikecapi itu membuktikan Melaka terus tampil dengan idea kreatif dan berimpak tinggi bagi memperkukuh sektor pelancongan berasaskan warisan serta budaya tempatan.
“Ia menjadikan sektor pelancongan Melaka berjaya meraih empat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil MBOR dan Hadiah Pemenang Sempena Festival Sungai Melaka 2026 di Dataran Pengkalan Rama, di sini semalam.
Beliau berkata Melaka perlu menjadi lebih kreatif dalam memajukan sektor pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, Festival Sungai Melaka 2026 yang menghimpunkan lebih 30 pengisian menarik serta dilaksanakan buat julung kalinya merentasi daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin membuktikan pembangunan pelancongan tidak hanya tertumpu di satu lokasi, sebaliknya manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat di seluruh negeri.
“Menerusi sokongan daripada pelbagai pihak, saya yakin bahawa festival ini akan terus menjadi ikon pelancongan negeri serta pemangkin yang sangat penting ke arah kejayaan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 dan sekaligus mengangkat nama Melaka ke tahap yang lebih berprestij,” katanya.
-FN






