Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Minyak Mestika Kekal Relevan Selepas Hampir Enam Dekad

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Shahilawati Wan Baharuddin/Noor Haswan Noor Azman

PASIR MAS, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Hampir enam dekad bertapak dalam industri perusahaan, Minyak Mestika keluaran Che Mah & Sons Sdn. Bhd. (CMSSB) terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Syarikat Minyak Mestika Che Mah & Sons Sdn.Bhd. (CMSSB) Zailintun Jaafar menunjukkan produk keluaran syarikat nya Minyak Mestika.

Legasi perniagaan keluarga itu kini diteruskan oleh generasi ketiga yang komited memastikan jenama Minyak Mestika terus berkembang seiring perubahan zaman tanpa mengabaikan kualiti produk yang menjadi identiti syarikat.

Pengarah Urusan CMSSB, Zailintun Jaafar berkata beliau bersama adik-beradiknya kini berganding bahu menguruskan perusahaan yang diasaskan oleh keluarga mereka hampir 60 tahun lalu.

Menurut beliau, perkembangan syarikat turut dibantu menerusi sokongan SME Corp Malaysia yang membolehkan pembelian Mesin Pengkapsulan Semi Automatik bernilai RM85,000.

“Alhamdulillah, bantuan yang diterima banyak memudahkan proses pengeluaran kami, khususnya dalam kerja-kerja pengisian kapsul. Penggunaan mesin ini bukan sahaja mempercepatkan proses pengeluaran, malah membantu meningkatkan kecekapan operasi syarikat,” katanya kepada Malaysia Aktif baru-baru ini.

Beliau berkata, peningkatan keupayaan pengeluaran hasil penggunaan teknologi tersebut membolehkan syarikat memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih berkesan.

“Ketika ini, kami mampu mengeluarkan kira-kira 4,000 botol Minyak Mestika setiap hari bagi memenuhi permintaan yang berterusan daripada pelanggan di seluruh negara.

Zailinatul bersama adik beradiknya (berkot makmal) meneliti produk keluaran Minyak Mestika.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan trend pasaran dan persaingan dalam industri, sambutan pelanggan yang tidak pernah putus menjadi pemangkin untuk kami terus memajukan perusahaan ini,” katanya.

Menurut Zailintun, Minyak Mestika bukan sekadar produk, malah merupakan legasi keluarga yang perlu dipelihara dan dipertahankan.

“Kami akan terus mengekalkan mutu produk di samping memperkenalkan pendekatan pemasaran yang lebih moden supaya jenama ini kekal relevan kepada generasi baharu,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat turut menitikberatkan aspek kualiti dan keselamatan produk dengan memperoleh pensijilan Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practice, GMP).

“Pensijilan ini membuktikan proses pengeluaran syarikat mematuhi piawaian yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap mutu dan keselamatan setiap produk yang dihasilkan,” ujarnya.

Tambah beliau, pelanggan setia terus memilih Minyak Mestika kerana keberkesanan produk serta kepercayaan yang dibina sejak hampir enam dekad lalu.

-FN

Tinggalkan komen anda