
Laporan/foto: Mohd Haffis Seria (Matu)
MATU, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Penghayatan ajaran al-Quran menjadi panduan utama dalam membentuk sahsiah insan yang berilmu, amanah dan adil ke arah pembinaan komuniti progresif, berdaya saing serta harmoni.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Bahagian Mukah, Badjuri Bidin berkata panduan kitab suci itu amat penting bagi merealisasikan hasrat melahirkan masyarakat seimbang dari aspek rohani dan sahsiah, selaras dengan kepesatan kemajuan negeri.
“Kemajuan ekonomi, pendidikan dan teknologi perlu dipastikan sentiasa seiring dengan pegangan teguh terhadap ajaran Islam serta amalan nilai moral yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Mukah 2026 bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ yang melabuhkan tirainya, semalam.
Seramai 45 peserta menyertai peringkat saringan daerah sebelum 11 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat Bahagian Mukah.
Fakhrul Nujaid Khalidi dinobatkan sebagai johan kategori Qari, diikuti Mohamad Nazrin Othman sebagai naib johan dan Nazarudin Jaraie di tempat ketiga, dengan kedua-dua pemenang tersebut masing-masing dari Daro.
Sementara itu bagi kategori Qariah, Roziah Ayup dari Dalat muncul johan, manakala Alaa’ Ahmad Sayuti dari Mukah meraih naib johan dan Hasipah Brawi dari Matu menduduki tempat ketiga.
-RJ-




