
Laporan/foto: Norhafiezah Abdul Aziz (Penampang)
PENAMPANG, 24 Jul (MalaysiaAktif)– Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) akan terus komited memenuhi aspirasi pembangunan negara sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Moyog, Frankie Roy berkata UPPM akan berusaha untuk meringankan beban golongan yang memerlukan di peringkat akar umbi menerusi penyediaan bantuan yang bersesuaian.
“Menerusi pendekatan Ziarah Kasih, pihak UPPM bukan sahaja menyampaikan sumbangan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas malah berpeluang menyantuni penduduk serta mendengar sendiri permasalahan yang mereka hadapi.
“Program ini membolehkan kita mendekati masyarakat secara lebih dekat di samping memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya selepas Program Ziarah Kasih UPPM Moyog di Kampung Penampang Proper pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Penampang Proper, Nikolas Sylvester percaya program berkenaan akan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap program yang dilaksanakan kerajaan termasuk bantuan untuk golongan sasar.
“Bantuan dan Ziarah Kasih seumpama ini amat bermakna buat warga setempat, selain memberi manfaat secara terus menerusi bantuan kebajikan, juga berupaya mengeratkan silaturahim serta memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk.
“Selain penyampaian sumbangan, sesi dialog dua hala diadakan bagi menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan kepada komuniti,” jelasnya.
Program kebajikan itu diadakan bersempena Program Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai Kampung Penampang Proper Bil. 1/2026 melibatkan lapan orang penerima di Pejabat UPPM Moyog dan sekitar Kampung Penampang Proper.
Antara pengisian lain, taklimat kesedaran daripada Pegawai Penerangan Daerah Penampang, Norhafiezah Abd Aziz berkenaan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dan Cara Pelupusan Jalur Gemilang’ sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai etika penggunaan Jalur Gemilang.
-RJ-




