Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

PRN Johor: KTMB Tawar Diskaun Tambang Promosi 20 Peratus, Sedia 7,464 Tiket ETS Tambahan

By 23 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tambang promosi diskaun 20 peratus dan menambah 7,464 tempat duduk tren elektrik (ETS) khas untuk kemudahan orang ramai pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hujung minggu ini.

KTMB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif penambahan kapasiti itu dibuat susulan tiket fasa pertama yang dijual pada 19 Jun lalu telah habis terjual, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi warga kota yang merancang perjalanan ke selatan tanah air.

“Sehubungan dengan sambutan yang amat menggalakkan itu, KTMB bersetuju menambah lagi empat perkhidmatan tren tambahan bagi laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral dan empat lagi bagi laluan JB Sentral – Gemas – JB Sentral,” menurut kenyataan itu.

KTMB memaklumkan penyediaan tren tambahan ini secara keseluruhannya menawarkan kapasiti 2,488 tempat duduk sehari.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,464 tiket disediakan sepanjang tiga hari tempoh pengoperasian khas tersebut dengan 312 kapasiti tempat duduk bagi setiap perjalanan tren.

“Jualan tiket tren tambahan laluan JB Sentral–Gemas–JB Sentral dibuka mulai 3 petang hari ini, manakala laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral akan mula dijual pada 9 pagi esok,” menurut kenyataan itu.

-FN

Tinggalkan komen anda