Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

SPR Rekod 305 Kesalahan Berkempen PRN Johor

By 41 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

JOHOR BAHRU, 4 Julai (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) merekodkan sebanyak 305 kesalahan berkempen melibatkan parti-parti politik yang bertanding sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 sehingga 2 Julai lalu.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata semua aduan yang diterima di bawah bidang kuasa Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah diambil tindakan susulan mengikut peruntukan yang ditetapkan.

Menurut beliau, sebanyak 140 kes melibatkan pemasangan bahan kempen di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan (PBT), diikuti 90 kes bahan kempen yang menghalang pandangan pengguna jalan raya dan lalu lintas.

“Selain itu, sebanyak 27 kes dikesan melibatkan pemasangan bahan kempen dalam lingkungan 50 meter dari pusat mengundi, manakala 48 lagi berada di bawah kategori kesalahan lain,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Beliau berkata, SPR telah menubuhkan 56 PP-KPR di seluruh Johor bagi menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen.

“SPR sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan aktiviti berkempen berjalan dengan baik, teratur dan terkawal,” tegasnya.

Katanya, SPR turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan serta tata etika yang ditetapkan sepanjang tempoh berkempen.

Tempoh berkempen bagi PRU DUN Johor Ke-16 bermula selepas hari penamaan calon pada 27 Jun lalu dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 10 Julai ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda