
Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)/Pejabat Perdana Menteri (PMO)
BUKIT KAYU HITAM, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek bersejarah itu akan menjadi asas kepada pembangunan ekonomi di wilayah utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand demi kesejahteraan rakyat.
“Dan hari ini, satu lagi usaha bersejarah. Dan di negeri ini, terutamanya di wilayah utara Semenanjung Malaysia, kita perlu bergelut dengan usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat kita.
“Dan saya percaya keadaan yang sama juga terpakai di wilayah selatan, dan melalui projek usaha sama baharu ini, kita sepatutnya dapat menggunakannya sebagai asas untuk memacu ekonomi kedua-dua wilayah. Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian jajaran jalan baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, Thailand, di sini semalam.
Menurut Anwar, hubungan akrab yang terjalin antara kedua-dua negara menjadi pemangkin kepada kejayaan pelbagai inisiatif yang dipersetujui bersama.
Beliau berkata komitmen kepimpinan kedua-dua negara turut membolehkan pelbagai isu yang tertangguh sekian lama diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Jadi, berhubung isu-isu berbangkit yang telah mengambil masa bertahun-tahun, kadang-kadang berdekad-dekad lamanya untuk dirunding, mesyuarat demi mesyuarat. Kami telah cuba menyelesaikan kebanyakannya semalam dengan cara yang sangat pantas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia dan Thailand turut mencapai persefahaman untuk memperluaskan kerjasama melalui pembangunan zon ekonomi khas dan zon ekonomi sempadan yang dijangka memberi limpahan manfaat kepada beberapa negeri di utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Perak dan semestinya Pulau Pinang.
Anwar berkata kedua-dua negara turut menegaskan semula komitmen untuk mencapai nilai perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027 dengan mempercepatkan penyelesaian pelbagai isu berkaitan perdagangan rentas sempadan.
“Itulah sebabnya isu-isu tertunggak yang melibatkan kastam, imigresen, makanan laut, perdagangan, telah kami bersetuju untuk diselesaikan dengan cara yang paling pantas. Kerana ia akan bermakna kehidupan yang lebih baik, dan punca rezeki yang lebih baik untuk para peniaga serta komuniti perniagaan kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kelancaran pergerakan di pintu masuk sempadan perlu diberi perhatian bagi mengurangkan kos serta memberi manfaat kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
“Tiada sebab mengapa lori-lori terpaksa menunggu berjam-jam manakala pusat-pusat pemeriksaan tertakluk kepada kelewatan yang tidak munasabah. Oleh itu, kita memerlukan pelepasan yang lebih pantas, dan mengurangkan kos yang akan memberi manfaat kepada rakyat kita,” katanya.
-FN






