Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Taste of Borneo 4.0 Perkasa Warisan Budaya Borneo

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Philip Johnny (Miri)

MIRI, 10 Jul (MalaysiaAktif)Taste of Borneo Cultural Carnival 4.0 (TOBC 4.0) terus menjadi platform penting dalam memperkasa warisan budaya Borneo apabila menghimpunkan kepelbagaian etnik, makanan tradisional, seni persembahan dan budaya serantau di Boulevard Miri sehingga 12 Julai.

Festival tahunan itu bukan sahaja mengetengahkan kekayaan budaya Sarawak dan Borneo, malah menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta merancakkan sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Penganjuran edisi kali ini turut diserikan dengan penyertaan delegasi kebudayaan dari Yunnan, China, sekali gus memperluas jaringan pertukaran budaya di peringkat antarabangsa.

Lebih 150 gerai menawarkan pelbagai makanan tradisional dan produk tempatan, manakala pengunjung berpeluang meneroka Perkampungan Budaya, muzium mini artifak serta menikmati persembahan kebudayaan daripada Sarawak, Sabah, Brunei, Indonesia dan Yunnan.

Kemuncak festival ialah Perarakan Agung Budaya TOBC yang menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan persatuan etnik terbanyak dalam sebuah perarakan.

Seorang pengunjung, Harry Linggang, 29, berkata festival berkenaan berjaya memperkenalkan keunikan budaya serta makanan tradisional Borneo kepada masyarakat pelbagai kaum dan pelancong.

“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara komuniti, malah memberi peluang kepada generasi muda mengenali dan menghargai warisan budaya yang menjadi identiti Sarawak,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Sementara itu, peniaga makanan tradisional, Douglas Dato, 44, berkata sambutan menggalakkan daripada pengunjung memberi impak positif kepada usahawan tempatan selain membantu mempromosikan makanan tradisional kepada generasi muda dan pelancong.

-FN

Tinggalkan komen anda