Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SADA Salur RM1.48 Bilion Laksana 87 Projek Strategik Pacu Pembangunan Sri Aman

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Agensi Pembangunan Wilayah Sri Aman (SADA) meluluskan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion bagi melaksanakan 87 projek pembangunan strategik yang memfokuskan kepada peningkatan infrastruktur, pertanian, ekonomi dan kesejahteraan sosial di Bahagian Sri Aman.

Pengerusi SADA yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Program dan Projek Luar Bandar) Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata jumlah itu mewakili kira-kira 98 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM1.5 bilion yang disediakan kerajaan negeri bagi mempercepat pembangunan wilayah berkenaan selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Beliau berkata sektor infrastruktur menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM1.037 bilion; diikuti sektor sosial (RM161 juta); pertanian (RM160.55 juta); dan ekonomi (RM121 juta).

“Pelaburan dalam infrastruktur bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pertanian, pelancongan dan aktiviti ekonomi setempat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sarawak FM di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 15 Okt 2020, SADA berperanan mempercepatkan pembangunan Bahagian Sri Aman menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Rohani berkata sehingga kini sebanyak 13 projek utama telah siap dan beroperasi sepenuhnya, antaranya pembinaan Jambatan Sungai Undop di Kampung Beleti (Rh Kennedy), Sabu bernilai RM5 juta dan pemasangan Sistem Sarawak Traffic Information and Light System (STILE) di Jalan Akses Sri Aman (Q7).

Dalam sektor pertanian pula, beliau berkata sebanyak 12 projek sedang dilaksanakan melibatkan pembangunan sistem pengairan dan saliran, pembinaan jalan ladang serta inisiatif berasaskan teknologi dan pengeluaran makanan.

Antara projek utama ialah Kajian Ekosistem Pengeluaran Padi di Jelapang Padi Batang Lupar, Projek Ternakan Tilapia Hitam Fasa 1 di Batang Ai dan pembangunan industri burung walit yang dijangka meningkatkan produktiviti serta pendapatan komuniti luar bandar.

Bagi memperkukuh sektor ekonomi, khususnya pelancongan, SADA turut menyelia 21 projek bernilai RM10.15 juta yang memberi fokus kepada pembangunan produk ekopelancongan dan warisan tempatan termasuk pembangunan Kompleks Ekopelancongan Gunung Lesong.

Beliau menegaskan SADA akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin transformasi pembangunan wilayah menjelang 2030 bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh masyarakat di Bahagian Sri Aman.

-FN

Tinggalkan komen anda