Skip to main content
Berita TempatanSabah

Warisan Ibu Cetus Inspirasi Usahawan Sabaheavenly Handmade

By 51 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Rafidawati Mohd Taip @ Muktar (Sandakan)

SANDAKAN, 27 Jul (MalaysiaAktif)– Di celah puluhan reruai Festival Jom Malaysia sepasang tangan tekun menyusun aksesori, cenderamata dan pelbagai hasil kraf tangan di atas meja pameran.

Pemilik Sabaheavenly Handmade Enterprise, Rozana Reduan, 36, berkongsi bagaimana setiap produk kraf tangan yang dijualnya membawa pelbagai kisah dengan kemahiran seni diwarisi daripada insan paling dekat dalam hidup iaitu ibunya.

Beliau mengakui minatnya terhadap dunia kraf tangan mula berputik sejak kecil apabila sering menemani ibunya menghasilkan pelbagai kraftangan secara tradisional.

“Apa yang pada mulanya sekadar membantu menghulurkan bahan dan memerhati setiap proses, akhirnya bertukar menjadi kemahiran yang kini menjadi sumber rezeki keluarga.

“Saya belajar sedikit demi sedikit daripada ibu. Lama-kelamaan saya mampu menghasilkan produk sendiri dan daripada situlah timbul keinginan untuk meneruskan warisan ini,” katanya ketika ditemui di Festival Jom Malaysia di Kompleks Sukan Sandakan, semalam.

Jelas Rozana, menghasilkan kraf tangan memerlukan kesabaran kerana setiap produk disiapkan secara manual dengan memberi perhatian kepada setiap perincian agar memiliki identiti tersendiri.

“Produk yang saya hasilkan antaranya ialah cenderamata, aksesori dan pelbagai kraftangan yang sering menjadi pilihan pelanggan sebagai hadiah serta cenderakenangan majlis perkahwinan.

“Ramai pelanggan memilih produk buatan tangan kerana masing-masing mempunyai keunikan yang sukar diperoleh daripada produk yang dihasilkan secara besar-besaran. Kami juga menerima tempahan mengikut tema dan kehendak pelanggan,” ujarnya.

Menurutnya, sambutan yang diterima membuatnya optimis hasil seni tempatan masih mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat terutama apabila semakin ramai menghargai produk yang membawa nilai budaya dan sentuhan peribadi.

“Penyertaan dalam Festival Jom Malaysia ini membuka ruang kepada usahawan kecil seperti saya untuk memperkenalkan jenama tempatan kepada pengunjung dari pelbagai daerah, sekali gus memperluaskan pasaran.

“Selagi ada yang menghargai hasil buatan tangan, saya akan terus berkarya. Saya mahu warisan yang saya pelajari daripada ibu ini terus hidup dan dikenali oleh generasi akan datang,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda