
Laporan/foto: Andi Abdul Rohim/Siti Nor Farhana Md Zairozi (Manjung)
MANJUNG, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat patriotisme menjelang Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) terus disemarakkan menerusi pelaksanaan kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) di Taman Manjung Point, di sini kelmarin.
Gimik penyerahan Jalur Gemilang kepada Jawatankuasa Surau Diri Jumaat At-Taqwa diadakan sebagai simbolik mengajak penduduk setempat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
Penasihat Pusat Ekonomi Digital (NADI) Parlimen Lumut Syed Ibrahim Syed Noh berkata kibaran Jalur Gemilang bukan sekadar perhiasan, sebaliknya manifestasi rasa cinta akan negara serta lambang perpaduan masyarakat berbilang latar belakang.
“Usaha kecil seperti mengibarkan bendera di rumah dan bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran membolehkan kita mengukuhkan hubungan sesama masyarakat di samping menyemai nilai kebersamaan,” katanya.
Inisiatif tersebut disatukan menerusi Program JIWA@Komuniti MADANI Seri Manjung dan Gotong-Royong MADANI yang bertemakan ‘Kecilkan Perbezaan, Eratkan Jalinan, Maju Bersama MADANI’.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan komuniti memanfaatkan tiga Pusat NADI di Parlimen Lumut iaitu di Kampung Sitiawan, Batu 14 Lekir dan Pulau Pangkor yang menyediakan kemudahan Internet percuma serta pelbagai program latihan digital seperti NADI MAHIR dan kemahiran AI.
-RI




