
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 44.8 peratus atau 8,544 kes daripada jumlah keseluruhan 19,057 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan semalam tiada sejarah vaksinasi COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata sebanyak 4,393 kes atau 23.1 peratus daripada kes yang dilaporkan pada semalam telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 atau kurang 14 hari dari tarikh dos kedua.
“Sebanyak 6,120 kes atau 32.1 peratus daripada kes positif COVID-19 yang dilaporkan pada hari ini (Sabtu) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap dan sebahagian besar daripada mereka berada pada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, 362 kes kematian dilaporkan semalam yang melibatkan 304 warganegara dan 58 bukan warganegara.
Kes kematian di rumah atau brought-in-dead yang dicatatkan semalam ialah 104 kes dan ia merupakan jumlah kes kematian di rumah tertinggi sejak pandemik melanda.
Kes aktif COVID-19 di seluruh negara pada semalam ialah sebanyak 256,302 kes dengan 1,369 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Daripada jumlah kes yang dirawat di ICU, 978 kes merupakan kes positif COVID-19 manakala 391 lagi ialah kes yang disyaki dan dalam siasatan.
Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pada semalam pula sebanyak 764 kes terdiri daripada 460 kes COVID-19 dan 304 kes merupakan kes disyaki dan dalam siasatan.
Menurut Dr Noor Hisham kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara pada semalam ialah 0.96.
Negeri yang mencatatkan kadar Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.14 manakala Kuala Lumpur mencatatkan kadar Rt terendah iaitu 0.79, katanya.
Sebanyak 16 kluster baharu dilaporkan semalam berbanding 34 kluster baharu pada Jumaat dan daripada keseluruhan kluster baharu itu, 12 merupakan kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan.
— BERNAMA