Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Mangsa Perahu Karam Sungai Banting Ditemui

By 25 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 4 Jun (MalaysiaAktif) – Jasad mangsa insiden perahu karam di Sungai Banting, Lingga, yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu, berjaya ditemui petang semalam.

Mangsa, Gerald anak Lansam, 42, ditemui oleh penduduk kampung pada jam 4.10 petang, kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa merupakan salah seorang daripada sembilan individu yang menaiki sebuah perahu yang mengalami kerosakan enjin, sebelum bot berkenaan melintang pada tiang jambatan lalu terbalik akibat arus deras.

“Dalam kejadian tersebut, lapan mangsa lain berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung, manakala Gerald dilaporkan tenggelam dan dihanyutkan arus.

“Operasi SAR hari kedua hari ini melibatkan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit K9 JBPM, serta penduduk kampung,” kata jurucakap JBPM dalam satu kenyataan semalam.

Skop pencarian dijalankan merangkumi beberapa sektor sungai dengan radius sehingga lima kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Susulan penemuan jasad mangsa, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.30 petang atas arahan pihak polis.

-RJ-

Tinggalkan komen anda