
Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 15 nelayan pantai menerima bakul makanan sumbangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang diserahkan oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Haslin Marlina Hashim memaklumkan program ini telah dijalankan secara serentak di seluruh negara dengan penglibatan LKIM di negeri-negeri serta masyarakat nelayan setempat.
“Sebanyak 15 bot nelayan yang terlibat dalam program ini telah dipastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“LKIM Terengganu telah menyerahkan dan mengagihkan sumbangan bakul makanan sebanyak 30 bakul berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung dan lain-lain kepada masyarakat nelayan setempat dengan jumlah pengagihan di seluruh negara dianggarkan berjumlah RM21,000.00,” katanya ketika ditemui sempena program bantuan tersebut di Jeti Penambang Pasar Payang, di sini baru-baru ini.
Menurut Haslin, program ini dilaksanakan bagi menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat LKIM bersama-sama persatuan nelayan bagi membantu meringankan bebanan masyarakat nelayan yang terjejas akibat pandemik COVID -19.
“Diharapkan sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan ekonomi dan memberi kemudahan kepada masyarakat nelayan untuk mendapatkan bekalan makanan yang secukupnya.
“LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara terutama sewaktu Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” tambah Haslin.
Pada program itu, Ariffin turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada nelayan dan memasang Jalur Gemilang pada bot mereka serta menyempurnakan pelepasan perarakan bot nelayan yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.
-ii-