
Laporan/foto: Mohd Sukri Ismail (Tumpat)
PASIR MAS, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Permainan tradisional Dam Aji terus menjadi medium pemupukan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat di Tendong apabila ia mengumpulkan pelbagai lapisan umur khususnya warga emas.
Dam Aji atau dam haji dimainkan menggunakan papan bersaiz 12×12 dan memerlukan dua pemain, sekali gus menjadi aktiviti riadah yang mampu mengasah minda serta mengeratkan hubungan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Marzuki Mohamad, berkata Dam Aji bukan sekadar permainan mengisi masa lapang, malah menjadi medium penyatuan penduduk dari beberapa kampung sekitar.
“Permainan ini tidak memerlukan kos tinggi, hanya menggunakan papan terpakai yang dicat semula serta buah dam daripada penutup botol dan sesuai untuk semua lapisan umur,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut beliau, permainan Dam Aji di Tendong merupakan budaya lama dalam kalangan petani dan pesawah yang masih diteruskan sehingga kini.
“Pemain perlu fokus dan menggunakan strategi, namun ia dimainkan bukan untuk menunjukkan kepandaian tetapi untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” jelasnya.
Tambah beliau, aktiviti tersebut menjadi ruang pertemuan penduduk bagi membina jaringan persahabatan baharu selain mengisi masa lapang secara sihat.
Sambutan terhadap permainan ini amat menggalakkan apabila ia bukan sahaja menarik minat penduduk setempat, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan kerana keunikannya sebagai permainan tradisional rakyat Malaysia.
-AA-





