
Laporan/foto: Suzaima Ibrahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan juga Pusat Tahfiz semakin menjadi pilihan ibu bapa pada masa kini malahan terdapat permintaan untuk menempatkan anak ke pusat berkenaan telah melebihi tempat yang disediakan.
Pengerusi Masjid Nurul Hikmah Ir. Osman Ahmad, berkata setakat ini SAR Madrasah Islamiah Nurul Hikmah telah menempatkan sekurang-kurangnya 350 murid dan 13 guru.
“Pada hari ini ibu bapa semakin matang dalam memikirkan apa yang terbaik buat anak-anak mereka, maka tahap kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menghantar anak di sekolah agama adalah tinggi.
“Kita menerima banyak pendaftaran daripada ibu bapa, tetapi kita tidak mampu menerima semua yang telah mendaftar memandangkan jumlah kemudahan yang disediakan adalah terhad,” katanya ketika ditemu ramah di sekolah berkenaan, di sini baru-baru ini.
Menurut Osman, pihak pentadbiran turut bimbang sekiranya terlalu ramai pelajar yang diambil, para pelajar dan guru tidak dapat memberi fokus dalam pelajaran.
“Dengan jumlah pelajar yang sedia ada, kita berharap dapat mengekalkan prestasi para pelajar.
“Pencapaian dalam Sijil Rendah Ugama (SRU) mengikut rekod-rekod terdahulu boleh dikatakan 100 peratus lulus dan hampir semua adalah cemerlang,” katanya.
Mengulas lanjut, Osman berkata selain faktor positif pencapaian tahunan kelulusan sekolah yang memberangsangkan, faktor yuran yang rendah serta lokasi SAR yang berhampiran dengan sekolah-sekolah lain turut menjadi daya tarikan dalam membuat pilihan menghantar anak ke sekolah ini.
“Sebuah tadika turut disediakan sejak dua tahun lalu bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka yang berusia tujuh tahun ke bawah untuk belajar, walau bagaimanapun ia terpaksa ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pembelajaran disambung secara dalam talian,” katanya.
Sejak 20 tahun SAR berkenaan ditubuhkan, kini ia mempunyai 10 buah kelas yang dilengkapi alat penyaman udara, dewan serba guna, pejabat pentadbiran, dewan makan serta tempat meletak kenderaan.
“Selepas menamatkan pembelajaran di sini, para pelajar boleh menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu dan ada dalam kalangan mereka yang dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atau menyambung pelajaran hingga ke luar negara seperti ke Kaherah, Mesir,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi SAR Madrasah Islamiah Nurul Hikmah Abekan Liun, berkata selain dari SAR, masjid berkenaan juga mempunyai sebuah madrasah yang dijadikan sebagai pusat tahfiz yang turut menjadi pilihan ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka.

Maahad Tahfiz Waltarbiah Nurul Hikmah optimis melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran di negeri ini khususnya.
“Setelah lima tahun penubuhannya, madrasah ini telah melahirkan ramai generasi al-Quran yang mempunyai roh keislaman dalam kehidupan seharian selain menyediakan alternatif kepada ibu bapa untuk mencorak pendidikan anak-anak mereka dalam al-Quran.
“Walau bagaimanapun kita hanya dapat menerima 30 orang pelajar sahaja setakat ini dan kemasukan pelajar yang terpilih ini agak ketat kerana mereka perlu melalui sesi temu duga dan hanya yang layak akan terpilih,” kongsinya.
Dalam pada itu, Abekan berkata selain melahirkan penghafaz al-Quran yang profesional, pelajar-pelajar di pusat tahfiz berkenaan turut menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pelajar di Pusat Tahfiz ini didedahkan dengan ilmu naqli (agama) dan aqli (akademik), cemerlang dunia dan akhirat itulah yang diimpikan oleh setiap ibu bapa yang menghantar anak ke sini.
“Kita percaya mereka mampu bersaing dengan pelajar-pelajar di luar kerana mempunyai nilai tambah dari sudut pengetahuan, amalan serta nilai murni yang sangat diperlukan masyarakat serta sektor pekerjaan pada masa ini.
“Pusat Tahfiz ini mampu melahirkan seorang insan yang soleh dan keluaran dari sekolah agama atau tahfiz mampu mencorakkan masyarakat agar lebih menghayati agama dan mempunyai nilai akhlak yang baik,” katanya.
-RI