Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Pertandingan ‘Biggest Loser’ Julung Kali di Sarawak Raih Sambutan Luar Biasa

By 2 Mei 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Ianabella Raeng (Sarawak)

Kuching, 2 Mei (MalaysiaAktif)– Buat julung kalinya, Pertandingan ‘Biggest Loser’ yang dianjurkan di Sarawak telah mendapat sambutan hangat dengan penyertaan kira-kira 277 peserta. Inisiatif kesihatan dan kecergasan ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, dan berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak bermula 30 April sehingga 6 September 2025.

Program ini bertujuan memupuk budaya bersukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pendekatan pendidikan dan aktiviti fizikal. Peserta yang terpilih selepas sesi saringan terdiri daripada 94 lelaki dan 183 wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang, termasuk 135 penjawat awam.

Fatimah Abdul Rahman menyampaikan taklimat pertandingan dan berkongsi info pemakanan sihat serta gaya hidup aktif bersama peserta.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Fatimah Abdul Rahman, pertandingan ini bukan sahaja menekankan penurunan berat badan, malah memberi penekanan terhadap disiplin diri melalui aktiviti sihat dan kawalan pemakanan.

“Pertandingan ini mendidik rakyat agar mengamalkan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif demi mencapai berat badan ideal. Ia juga membantu meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan hidup secara keseluruhan,” jelasnya ketika memberikan taklimat kepada para peserta di sini semalam.

Mohd Firdaus Ahmat, 35, seorang penjawat awam, berkata beliau menyertai program ini demi kesihatan dan kesejahteraan keluarganya.

“Saya mahu menjadi contoh kepada anak-anak dan kekal cergas di tempat kerja,” katanya.

Siti Zahrah Jamel,  sahut cabaran Biggest Loser demi capai berat badan ideal dan gaya hidup sihat.

Siti Zahrah Jamel, 37, penyelia di Budak Gemok Carwash Mydin Petra Jaya, turut menyahut cabaran tersebut sebagai satu usaha peribadi ke arah kehidupan lebih sihat.

“Saya mahu memupuk gaya hidup aktif dan mencapai berat badan ideal sebagai satu cabaran untuk diri sendiri,” katanya penuh semangat.

Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran dan penimbangan berat badan, diikuti taklimat pertandingan serta sesi kesedaran kesihatan bersama rakan strategik program.

-RJ-

Tinggalkan komen anda