
Laporan/foto: Mazlin basir/Muhamad Hafiz Ariffin (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Sejak pertengahan Ogos 2021 beberapa kawasan di daerah ini telah mengalami bencana banjir yang disebabkan oleh fasa monsun melemah (monsoon break) seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia).
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bagi mengurangkan risiko bencara banjir genang ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia sedang melaksanakan dua projek pembangunan di daerah ini iaitu projek menaiktaraf sistem saliran mesra alam (SMA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat.
“Projek menaiktaraf sistem saliran mesra alam (SMA) dengan kos keseluruhan bernilai RM32.8 juta dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir disebabkan masalah sistem saliran yang tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar.
“Projek ini turut melibatkan dua projek menaiktaraf sistem saliran Sungai Suloh dan Peserai yang sedang dalam pelaksanaan,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan kerja ke daerah ini di Masjid Nur Islam Parit Basri Seri Medan, di sini semalam.
Tambah beliau, projek menaiktaraf sistem SMA Sungai Suloh telah siap hampir 45 peratus manakala projek menaiktaraf sistem SMA Peserai telah siap 30 peratus di mana kedua-dua projek ini dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2022.
“Projek kedua, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat dengan kos projek keseluruhan bernilai RM48.5 juta bagi mengurangkan risiko banjir termenung sekiranya berlaku kejadian hujan lebat di kawasan Seri Medan, di bahagian hulu iaitu Chaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.
“Projek ini sedang dalam proses pra-pelaksanaan bagi perkhidmatan perunding dan pelantikan kontraktor pula akan dibuat pada tahun hadapan di mana projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah bencana banjir genang selain mengelakkan kerugian para peladang kelapa sawit di sekitar kawasan berisiko yang tidak dapat mengutip hasil kebun jika berlakunya kejadian banjir.
“Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe12), KASA melalui JPS Malaysia sedang dalam tindakan bagi melaksanakan 15 projek pembangunan untuk mengurangkan risiko banjir, pemuliharaan sungai serta hakisan pantai di Johor.
“Kos keseluruhan projek ini dianggarkan berjumlah RM1.43 billion yang melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu,” jelasnya.
-NI-