
Laporan/foto: Inthran Krishnan/Wan Muhammad Afiq Wan Mokhtar (WPKL)
KUALA LUMPUR, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Penganjuran program melibatkan komuniti khususnya dalam usaha memupuk semangat perpaduan dan patriotik dalam kalangan masyarakat perlu dipergiatkan.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Masjid Al-Qurtubi Faiz Ikmal Ahmad Rafie, berkata program seumpama itu penting bagi memastikan generasi akan datang terus dipupuk dengan semangat cinta akan negara.

Upacara mengibarkan Jalur Gemilang diadakan di perkarangan Masjid Al-Qurtubi bagi menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia.
“Sebagai rakyat terutamanya belia, perlu menghayati pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu menerusi penglibatan dalam program-program melibatkan komuniti yang menyuntik semangat patriotik sebegini.
“Program sebegini seharusnya kerap dilaksanakan bagi memastikan generasi akan datang tidak lupa akan perjuangan orang terdahulu,” katanya ketika ditemui pada Program Merdeka@Komuniti di Masjid Al-Qurtubi Segambut, di sini hari ini.
Program berkenaan disempurnakan Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Maria Che Mat Nawi@Muhammad Nawi.
Pada majlis tersebut, turut diadakan upacara penyerahan sumbangan RM1,000 kepada tabung Masjid Al-Qurtubi dan serahan Jalur Gemilang.
-ZS-