Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

SMK Beluran Bestari Warnai Semangat Keluarga Malaysia

By 16 September 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Melanie Marcellina J. Kinjawan (Beluran)

BELURAN, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Sesi persekolahan bersemuka yang digantikan dengan sistem pembelajaran berteraskan teknologi, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukanlah penghalang kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran Bestari untuk mewarnai Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Menurut Pengetua SMK Beluran Bestari Zulhairul Ramlee, sambutan secara norma baharu itu dilaksanakan secara sederhana untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap negara.

“Pihak sekolah komited untuk meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam norma baharu kerana kami percaya pendidikan merupakan medium utama untuk memupuk semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan generasi muda.

Zulhairul (kiri) bersama Penolong Kanan, Frankie Maujus mengabadikan dengan Jalur Gemilang.

Zulhairul (kiri) bersama Penolong Kanan, Frankie Maujus mengabadikan dengan Jalur Gemilang.

“Secara tidak langsung, para pelajar akan dapat menjiwai betapa rasa cinta kepada negara perlu diterapkan sejak di bangku sekolah kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal mewarisi dan menjaga kedaulatan ibu pertiwi ini,” katanya ketika ditemui sempena sambutan tersebut di sekolah berkenaan, di sini baru-baru ini.

Menurut Zulhairul, sambutan tersebut dilaksanakan dengan harapan agar aktiviti-aktiviti sepanjang HKHM ini menjadi pemangkin untuk memupuk rasa cinta akan negara sejajar dengan tema “Malaysia Prihatin” dan mendoakan Malaysia bebas daripada COVID-19.

“Pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan sejak awal Ogos lepas bagi memeriahkan lagi sambutan secara maya peringkat sekolah dan kemuncak sambutannya adalah pada 16 September ini.

Frankie (tengah) mengetuai gotong-royong memasang Jalur Gemilang di SMK Bestari.

Frankie (tengah) mengetuai gotong-royong memasang Jalur Gemilang di SMK Bestari.

“Antara pengisian aktiviti termasuk Merdeka Photo Contest (SNAP&WIN), melukis poster Malaysia Menangani Pandemik COVID-19, mendeklamasikan sajak bertemakan kemerdekaan, publisiti video kreatif merdeka, dan kuiz kemerdekaan secara dalam talian,” ujarnya.

Bagi pelajar Tingkatan 4, Clarissa Clarence, 16, inisiatif pihak sekolah menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sempena HKHM wajar dihargai oleh semua pelajar.

“Walaupun perang pandemik ini tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti kejadian peperangan, setiap hari kita disajikan dengan kematian akibat pandemik COVID-19, oleh itu kita perlu sentiasa berjaga-jaga di samping mendoakan kesembuhan mereka yang telah dijangkiti COVID-19.

BANGGA…Albinus Joseph Silou bangga memegang Jalur Gemilang yang akan dipasang di Bilik Guru SMK Beluran Bestari.

BANGGA…Albinus Joseph Silou bangga memegang Jalur Gemilang yang akan dipasang di Bilik Guru SMK Beluran Bestari.

“Menyambut HKHM secara maya menjadi antara usaha kita untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada negara selain dapat menyambutnya di rumah dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan berkongsi swafoto detik sambutan bersama keluarga tersayang,” kongsinya melalui temu bual secara maya.

Rakan Clarissa, Mohd Adam Harris Oslan, 16, pula berharap agar sambutan seumpama diperbanyakkan lagi secara dalam talian.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat memperbanyakkan lagi iklan-iklan yang dapat memupuk rasa cinta kepada negara terutamanya melalui perkongsian dalam media sosial ataupun siaran secara langsung di televisyen.

“Sebagai rakyat yang prihatin, kita boleh menggelorakan semangat ini dengan memuat naik foto ataupun video bertemakan kemerdekaan melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Tik Tok,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda