
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/UPBN Selangor
GOMBAK, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersetuju meluluskan peruntukan RM1 juta untuk kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan.
Pejabat Menteri Tugas-tugas Khas dalam satu kenyataan memaklumkan, peruntukan tersebut adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“la akan digunakan untuk penyediaan laluan masuk, penyediaan platform jentera dan pemasangan cerucuk keping (sheetpile) sepanjang 200 meter untuk mengelakkan kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai tersebut.
“Kerja-kerja ini perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan,” kata kenyataan itu semalam.
Kenyataan tersebut juga menyatakan, kajian penilaian dan tindakan ini diselaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Pada 17 September yang lalu, kejadian tanah runtuh telah berlaku di Jalan Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor.
“Kejadian berkenaan turut menyekat aliran sungai di bawah bukit dan telah mengakibatkan 27 buah rumah terjejas dan diarah mengosongkan kediaman mereka,” katanya.
-RI