
Laporan/foto: Rashid Ibrahim/Burhanudin Jamil (Mersing)
MERSING, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing menganjurkan Pertandingan Kuiz Interaktif sebagai usaha mempromosikan aktiviti dalam talian di peringkat daerah.
Menurut wakil Pegawai Daerah Mersing Mohd Arif Samsi, penggunaan teknologi digital sangat membantu para pekerja yang bekerja dari rumah menjalankan tugasan yang diberikan serta meningkatkan tahap produktiviti kerja mereka.
“Penganjuran Pertandingan Kuiz Interaktif oleh Jabatan Penerangan (JaPen) daerah dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing pada hari ini secara dalam talian mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada agensi dan jabatan di daerah ini.
“Pertandingan ini merupakan sebagai penanda aras terhadap kecekapan penjawat awam dalam mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam menjalankan urusan seharian,” ujarnya semasa ditemui di bilik gerakan Pejabat Daerah Mersing, di sini semalam.

Ketua Cawangan Pengurusan IPD Mersing Asp Mohd Nor Mohd Isa turut menyertai pertandingan ini dan memenangi tempat yang keempat.
Tambah beliau, sebanyak 30 jabatan dan agensi dalam daerah ini telah menyertai pertandingan ini yang menguji kecekapan dan kepantasan para peserta dalam menjawab soalan secara dalam talian.
Penghulu Mukim Endau Mohd Ezwan Jamigoe, yang turut menyertai pertandingan kuiz ini berkata beliau berasa sangat teruja ketika menjawab soalan-soalan yang diberikan.
“Soalan-soalan yang diberikan sangat menguji kefahaman serta kepantasan para peserta selain memerlukan tumpuan yang baik.
“Diharap dengan penganjuran pertandingan seumpama ini dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan penghayatan segenap lapisan masyarakat pada masa akan datang,” ujarnya.
-NI-