Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

Persaingan Perkhidmatan Perbankan, Kewangan Semakin Hebat

By 24 September 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Sejak kemunculan teknologi kewangan (fintech), persaingan dalam perkhidmatan perbankan dan kewangan di Malaysia dilihat semakin hebat, demikian menurut Deloitte Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata kebanyakan pemain industri secara terbuka telah mengumumkan minat dan permohonan mereka untuk mendapatkan lesen bank digital sambil menambah Bank Negara Malaysia telah menerima 29 permohonan dalam masa enam bulan tempoh permohonan yang berakhir pada 30 Jun, 2021.

Deloitte berkata permohonan itu menyaksikan pelbagai profil yang baik, bermula daripada konglomerat tempatan hingga ke bank-bank tradisional, kerajaan negeri, peruncit, BigTech, fintech, syarikat telekomunikasi dan banyak lagi.

“Selama lebih daripada setahun ini, Malaysia begitu sibuk dengan musim perbankan digital, dengan lebih banyak tindakan dan aspirasi untuk mendapatkan lesen bank digital.

“Walaupun jumlah akhir permohonan lesen kurang daripada jangkaan iaitu 40-50 permohonan, kami menyaksikan penyertaan yang memberangsangkan daripada entiti tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Pengarah Perkhidmatan Kewangan Gopal Kiran berkata bank digital yang berjaya memerlukan ciri-ciri seperti strategi perniagaan yang menyeluruh, rakan kongsi dan tenaga kerja yang tepat, asas pengurusan risiko yang kuat, teknik pemasaran baharu dan pengurusan portfolio.

“Pihak yang bercita-cita untuk menyertai tidak harus melepaskan peluang untuk mencapai satu daripada ciri-ciri berkenaan, dalam usaha untuk mengatasi pesaingan.

“Kami percaya kebanyakan daripada mereka menyedari kepentingan ciri-ciri dan membuat pelan strategi yang diperlukan untuk berjaya,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda