
Laporan/foto: Judy Henry (Sarawak)
SAMARAHAN, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.53 bilion akan diberikan bagi meneruskan program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha sawah padi seluruh negara.
Seorang pesawah Jimbat Kucha, 57, menyambut baik berita yang diumumkan oleh pihak kementerian dan berharap dirinya antara pesawah yang akan dipilih untuk program bantuan subsidi dan insentif tersebut.

Mengikut kepercayaan petani kaum iban, upacara doa menyeru semangat padi supaya membantu menghasil padi yang banyak, sebelum memulakan tuaian.
“Saya telah mengusahakan sawah padi selama tujuh tahun di mana kami menyewa tanah berukuran dua ekar dan membayar sewa kepada tuan punya tanah sebanyak RM200 setahun.
“Sebelum ini, saya menerima bantuan berupa subsidi baja dan benih padi daripada Jabatan Pertanian Negeri Sarawak, daerah Kota Samarahan,” jelas Jimbat ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sembawang, di sini baru-baru ini.
Senada dengan Jimbat, Kirana Beraik, 39, turut berharap dapat dipilih menjadi penerima bantuan untuk projek ini.
“Pada tahun yang lalu, kami menerima bantuan Skim Baja dan Racun Padi, selain itu kami juga menerima subsidi harga padi daripada Jabatan Pertanian Negeri Sarawak.
“Walau bagaimanapun, kami berharap melalui program bantuan subsidi dan insentif kepada pengusaha sawah padi nanti, kami dapat membeli enjin memproses padi yang baharu, kerana enjin padi yang sedia ada selalu sahaja rosak kerana sudah terlalu lama di gunakan,” katanya.
-ZS-