
Laporan/foto: Ku Nurul Sham Ku Isa/Muhd Azrin Mubin Halim (Langkawi)
LANGKAWI, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil beberapa langkah atau tindakan tegas bagi mengatasi pemasalahan guru-guru yang enggan divaksin dan ketetapan yang dibuat ialah mereka tidak boleh mengajar secara bersemuka dan mereka mesti hadir ke sekolah serta ditempatkan di bilik khas di samping melaksanakan tugas khas yang diberikan kepada mereka.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata adalah penting untuk para guru divaksin kerana mereka akan berdepan secara bersemuka dan berinteraksi dengan pelajar selama seharian.
“Pada peringkat awal mereka telah diberikan nasihat untuk menerima suntikan vaksin dan daripada 2,500 guru yang enggan divaksin, jumlahnya sudah berkurang kepada 2,000 orang.
“Namun begitu apabila kita melihat data-data ini, kita dapati ada sekolah-sekolah tertentu, semua guru mengajar satu subjek yang sama tidak mahu divaksin dan oleh itu, bagaimana hendak teruskan pembelajaran dalam konteks ini?,” soalnya pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Kolej Vokasional Langkawi, di sini semalam.
Tambah beliau, demi kepentingan perkhidmatan maka tindakan yang akan diambil buat masa ini ialah bagaimana untuk kita membawa keluar guru-guru ini dan menukarkan mereka kepada tempat-tempat yang lebih sesuai dan ini mungkin melibatkan pertukaran di antara negeri sebagai contoh.
“Manakala tindakan-tindakan yang lain, kita sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam tentang pendekatan yang akan diambil dari sudut perkhidmatan awam kepada guru-guru ini,” jelasnya lagi.
Mengulas tentang lawatan beliau sepanjang beberapa hari ke sekolah-sekolah di Langkawi, beliau mendapati bahawa sekolah-sekolah di sini telah membuat persiapan yang rapi mengikut ketetapan fasa empat dan sedia dibuka pada 3 Oktober nanti.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Rozaini Ahmad.
~RJ~