
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Majlis Belia Daerah (MBD) Dungun bersama Pejabat Penerangan Daerah Dungun komited pastikan masyarakat di kawasan ini terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menzahirkan solidariti rakyat Malaysia dalam mendalami pembudayaan norma baharu.
Penghulu Mukim Rasau/Paka, Ahmad Khairullizan Alias, berkata masyarakat perlu peka dan bersama dengan kerajaan bagi memutuskan rantaian COVID-19.
“Walaupun kita telah mendapatkan vaksin namun cara hidup baharu iaitu pembudayaan norma baharu perlu dijadikan amalan.
“Semua sedia maklum bahawa Terengganu telah beralih kepada Fasa Tiga dalam Pelan pemulihan Negara (PPN) dan kita mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui sempena penyerahan bantuan kepada panduduk di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Kerteh 3, di sini baru-baru ini.
Menurut Khairullizan, sumbangan barangan keperluan harian disampaikan selain membuat hebahan ringkas berkaitan pemberian vaksinasi kepada kumpulan remaja berumur 13 tahun sehingga 17 tahun.
“Setiap sumbangan yang disampaikan mengandungi barangan keperluan harian seperti susu krimer manis, beras, gula, minyak masak, tepung serta bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia,” katanya.
Naib Pengerusi Dua, Majlis Belia FELDA (MBF) Wilayah Timur, Jamiah Yaakub, 39, berkata Ibu bapa perlu peka dengan janji temu yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah bagi anak-anak yang berumur 13 sehingga 18 tahun dalam program vaksinansi remaja yang sedang dilaksanakan ketika ini.
“Golongan belia sentiasa bersama dalam memastikan maklumat berkaitan dengan COVID-19 sampai kepada masyarakat,” katanya.

Golongan belia sentiasa memastikan maklumat berkaitan COVID-19 sampai kepada masyarakat kata Pengerusi Majlis Belia dan Sukan Daerah Dungun, Mohd Asmadi Khalid.
Manakala Nor Aznie Yunus, 35, berharap masyarakat yang tidak mempunyai urusan yang penting di luar agar duduk di rumah serta menjaga kebersihan diri masing-masing sebagai usaha mencegah daripada wabak pandemik ini.
Bagi penerima sumbangan, Ostaman Mohd, 51, dia bersyukur menerima sumbangan yang diberikan.
“Sumbangan yang diberikan ini meringankan beban dan dapat menambah kepada barangan yang ada serta boleh menjimatkan perbelanjaan kerana wang peruntukan barangan dapur boleh digunakan untuk membeli barangan lain,” katanya.
Susilawati Husain, 41, berterima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Dungun dan MBD Dungun kerana hadir menyampaikan sumbangan dan ini juga adalah sokongan moral kepadanya dan keluarga yang menunggu tarikh pembedahan bagi penyakit yang dihidapinya.
-ii-