Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

Sambutan HSN 2021 Meriah, Realisasikan Konsep Keluarga Malaysia

By 10 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Bagi merealisasikan konsep Keluarga Malaysia yang disarankan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kempen ‘Keluarga Malaysia Cergas Bersama’ yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, berkata Hari Sukan Negara yang diadakan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun sebagai langkah bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada negara bersukan.

“Saya difahamkan bahawa sasaran penyertaan HSN 2021 bagi seluruh negeri Kedah adalah seramai 164,065 ribu peserta dan saya amat yakin sasaran ini akan tercapai kerana seluruh rakyat di negeri Kedah sememangnya menunggu saat ini.

“Pelbagai aktiviti sukan dijalankan secara hibrid dan merupakan kaedah terbaik kerana seiring dengan amalan pematuhan SOP serta bersesuaian dengan norma baharu,” katanya ketika merasmikan HSN 2021 di Dataran Chenang, di sini semalam.

Tambahnya, terdapat lebih 200 aktiviti yang dianjurkan di seluruh negeri Kedah mahupun di peringkat negeri, daerah serta komuniti-komuniti.

“Jadikan HSN 2021 ini sebagai platform terbaik untuk memupuk dan menyemarakkan lagi hubungan kekeluargaan serta semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa,” ujarnya lagi.

Bola tampar pantai, salah satu aktiviti sukan yang diadakan di sini semalam sempena HSN 2021 di Kedah.

Bola tampar pantai, salah satu aktiviti sukan yang diadakan sempena HSN 2021, semalam.

Salah seorang peserta dari Majlis Perbandaran Langkawi Fatkhy Mohd Jamil, berkata dia amat teruja kerana dapat memeriahkan acara sambutan HSN pada tahun ini.

“Saya menyertai aktiviti berkayak ke Pulau Rebak Kecil dan sebanyak 37 buah kayak iaitu lebih kurang 68 orang peserta dari pelbagai jabatan di Langkawi dan luar menyertai acara ini dijangka tiba ke lokasi pada tengah hari ini,” ujarnya ketika ditemu bual semalam.

Sementara itu, peserta acara Fun Ride@Kayuhan Sejahtera Langkawi, Azmi Omar, 67, dari Kampung Sungai Menghulu, berasa amat bertuah kerana dapat menyertai program kayuhan tersebut semalam.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah mengadakan program ini dan berharap aktiviti-aktiviti sebegini dapat diadakan dengan lebih meriah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena sambutan HSN 2021 Peringkat Negeri Kedah adalah Kayak Trip, Myfit @ Home senamrobik, Fun Ride @ Kayuhan Sejahtera Langkawi, Fun Walk @ Langkawi, Family Fun Beach, Wajadiri Showcase, pertandingan sepak raga tuju @ Langkawi, xtrem games serta jualan produk kesihatan dan produk sukan.

~RJ~

Tinggalkan komen anda