Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hampir 98 Peratus daripada 7,276 Kes Baharu Kategori Satu dan Dua

By 13 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Sejumlah 97.9 peratus atau 7,126 daripada 7,276 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan semalan, melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 150 kes atau 2.1 peratus pula terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes baharu itu 7,266 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 6,869 warganegara dan 397 rakyat asing manakala 10 kes adalah kes import membabitkan dua warganegara dan lapan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Beliau berkata 10,555 kes sembuh dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,217,057.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 724 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 683 yang disahkan positif COVID-19 manakala 41 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 398 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 297 yang disahkan positif COVID-19 manakala 101 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan (suspected, probable) dan dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan 14 kluster baharu dikesan dengan enam kluster membabitkan kluster tempat kerja, lima kluster membabitkan penularan dalam komuniti, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster membabitkan pendidikan lain serta kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.88 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda