Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sambutan Maal Hijrah Semarakkan Syiar Islam, Sandaran Ummah Berdaya Saing

By 22 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Roslan Rungan/Juhara Ali Omar (Kunak)

KUNAK, 3 Jul (MalaysiaAktif)–Intisari daripada Sambutan Maal Hijrah wajar untuk dihayati sebagai wadah memperkukuh syiar Islam serta menyemai semangat perpaduan dalam jati diri individu dan pelbagai lapisan masyarakat.

Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan dalam kalendar umat Islam malah merupakan peristiwa bersejarah yang sarat dengan pengajaran dan inspirasi.

Jelasnya, peristiwa yang terkandung di sebalik sambutan Maal Hijrah adalah sandaran penting dalam membentuk struktur masyarakat yang bertunjangkan nilai agama iaitu beriman, berakhlak mulia serta berdaya saing.

“Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Madinah menjadi titik tolak pembentukan sebuah masyarakat Islam yang unggul berteraskan akidah yang mantap, akhlak mulia, keadilan, perpaduan dan kesejahteraan.

“Hijrah bukan hanya bermaksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi membawa makna perubahan yang menyeluruh daripada kelemahan kepada kekuatan daripada perpecahan kepada perpaduan daripada kejahilan kepada ilmu serta daripada kemunduran kepada kemajuan,” katanya ketika berucap di Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Kunak Dewan Arena Belia Kunak hari ini.

Sementara itu beliau turut mengajak seluruh masyarakat untuk menjadikan semangat hijrah sebagai pemangkin kepada perubahan positif dengan memperkukuh integriti, meningkatkan ilmu, memperkasakan institusi keluarga serta menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

“Cabaran dunia masa kini menuntut umat Islam agar sentiasa bersedia melakukan transformasi, memperkukuh jati diri, meningkatkan daya tahan dan menggembleng kekuatan masyarakat demi memastikan kemajuan negeri serta negara dapat dicapai secara bersama,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan peladang, Moktar Pallemmai, 68, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kunak 1448H/2026M manakala pesara Jabatan Kebajikan Masyarakat, Awang Jadil, 70, menerima Anugerah Khas Maal Hijrah sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan cemerlang mereka dalam pembangunan agama, pendidikan serta kemasyarakatan di daerah itu.

Sambutan itu turut diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian termasuk bacaan ayat suci Al-Quran, ceramah khas Maal Hijrah, bacaan doa dan persembahan selawat yang menyemarakkan lagi penghayatan terhadap erti sebenar hijrah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda