
Laporan/foto: Affifa Aroff/Yusof Bistamam (Perak Tengah)
BOTA, 3 Julai (MalaysiaAktif) – Sejumlah RM11.4 juta diperuntukkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota bagi menyokong agenda pemerkasaan usahawan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Bota Sarah Syazwani Saari berkata suntikan dana besar tersebut dijayakan hasil sokongan padu agensi-agensi utama seperti SME Corp. Malaysia Perak, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak.
Beliau berkata bantuan RM30,000 diberikan kepada Muhammad Umeir Haikal Rohaizad melalui Geran TUBE, manakala Skim Pembiayaan TEKUN Nasional Cawangan Parit yang berjumlah RM803,000 telah diterima Nur Muzhuari Abu Bakar.
“Pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Nur Syahirah Tarmizi telah menerima RM10,522,940,” katanya pada program Karnival Usahawan, Koperasi dan Jelajah YAKIN, di sini kelmarin.
Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak DUN Bota bersama Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Sarah Syazwani berkata karnival itu menghimpunkan pelbagai agensi di bawah KUSKOP dan Kerajaan Negeri Perak yang menawarkan khidmat nasihat, pembiayaan serta pembangunan perniagaan kepada usahawan dan bakal usahawan.
-FN




