Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Malaysia Gesa Kerjasama Lebih Kukuh ke Arah Pemulihan Ekonomi pada AELW 2021

By 8 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Malaysia menggesa usaha kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi menyokong pemulihan yang mampan dan inklusif untuk memastikan rantau yang bersedia masa depan bersempena Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) 2021.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata delegasi Malaysia dijadualkan menghadiri AELW secara maya bermula hari ini sehingga 12 Nov 2021.

MITI berkata memandangkan fokus utama terhadap usaha pemulihan pasca pandemik cenderung menumpukan kepada barisan hadapan ekonomi dan kesihatan, Malaysia akan berkongsi pandangannya berhubung kepentingan mempercepat penggunaan digitalisasi, inovasi dan kemampanan untuk mencipta lebih banyak peluang kepada komuniti APEC.

Melalui usaha pemulihan ekonomi sebagai tema APEC pada tahun ini, gesaan untuk melaksanakan langkah berkenaan merupakan kunci kepada rantau ini untuk merealisasikan aspirasi bagi mencapai rantau yang inklusif, mampan dan maju untuk semua, menyokong Visi Putrajaya 2040 mengenai kemakmuran bersama yang dilancarkan pada tahun lepas.

“Berpandukan hasrat untuk mempercepat pemulihan serantau, Malaysia akan menekankan komitmen dan solidariti yang tidak berbelah bahagi bagi membina semula rantau ini melalui usaha yang kukuh dan tidak henti-henti dalam melaksanakan pemulihan ekonomi dan menjaga kesihatan awam demi rakyat,” kata MITI.

Katanya AELW pada tahun ini adalah acara maya kedua selepas kejayaan Malaysia memegang kepengerusian APEC pada tahun lepas.

AELW menjadi saluran penyampaian kepada menteri-menteri APEC untuk bertukar-tukar pandangan dan perspektif mengenai isu semasa dan akan datang dalam APEC di samping menggalakkan para pegawai kanan APEC untuk terus berkhidmat demi kebaikan rantau ini dari segi sosial dan ekonomi.

AELW akan dimulakan dengan Mesyuarat Menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AMM).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar akan bersama-sama mengetuai delegasi Malaysia dalam AMM yang terdiri daripada dua sesi.

“Pada sesi ini, menteri-menteri dijadual membincangkan bagaimana perdagangan terbaik akan mempercepat pemulihan ekonomi, serta usaha terbaik ke arah meraih kerjasama ekonomi dan teknikal demi masa depan yang mampan,” kata MITI.

New Zealand sebagai pengerusi APEC pada tahun ini akan menganjurkan AMM secara maya selama dua hari untuk menteri-menteri bagi perbincangan yang lebih mendalam mengenai tajuk-tajuk ini.

Melalui penyertaan menteri perdagangan dan menteri luar APEC merentasi lapan zon masa, AMM akan menjadi mesyuarat yang diadakan lebih awal daripada kemuncak mesyuarat APEC pada tahun ini iaitu Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang dijadualkan pada 12 November.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai Malaysia dalam AELM.

Pada akhir penganjuran AMM, menteri-menteri dijadual menggunakan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Mesyuarat APEC 2021 Ke-32.

Kenyataan itu akan membuka laluan kepada usaha pemulihan serantau, seiring dengan keutamaan yang ditetapkan oleh New Zealand selaku hos APEC pada 2021 dengan tema pemulihan melalui dasar ekonomi dan perdagangan yang tangkas dan kukuh, meningkatkan keterangkuman dan kemampanan, dan menggalakkan inovasi dan pendigitalan, kata MITI.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda