
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Majlis pengagihan insentif bantuan pencen rakyat Negeri Terengganu tahun 2022 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik telah berlangsung di Dewan Sivik Kemasik, pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, IR Saiful Azmi Suhaili, berkata seramai 770 penerima pencen tersebut di DUN Kemasik yang terdiri daripada 29 buah kampung mendapat manfaat bantuan kewangan ini.
“Bantuan ini dikhususkan kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang tidak pernah menerima sebarang pencen dan tidak pernah menerima bantuan bulanan daripada jabatan atau agensi pemberi bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan sebagainya,” katanya.
IR Saiful Azmi berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut.
Menurut seorang penerima Pencen Rakyat Negeri Terengganu Abdul Rahman Che Weil, 64 dari Kertih (ZON 5) Kampung Baru, berkata dia sungguh terharu dan bersyukur atas pemberian bantuan ini.
“Alhamdulillah kerajaan Terengganu begitu prihatin terhadap rakyat khususnya golongan warga emas seperti saya dan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif diberi kepada rakyat demi keselesaan dan kesejahteraan semua rakyat di negeri ini, katanya.
Seorang lagi penerima bantuan Pencen Rakyat Negeri Terengganu, Zainab@Rokiah Mohd, 74, dari Felda Kertih 6 berkata, dia menyambut baik dan bersyukur terhadap inisiatif kerajaan negeri ini.
“Melalui duit sumbangan yang diperolehi dapatlahΒ saya membeli barang-barang keperluan dapur.
“Setahu saya, Kerajaan Negeri Terengganu adalah negeri yang pertama menghulur bantuan Pencen Rakyat kepada golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang memenuhi syarat-syarat tertentu,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar, Timbalan Pengarah Program Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Kamarulzaman Awang dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Kemasik.
-ZS-