
Laporan/foto: Punithen Thendayuthapani (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Merdeka@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia menjadi platform dalam usaha menggelorakan semangat patriotisme dan cintakan negara sempena sambutan bulan kebangsaan.
Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Talang Mahandran Sinniah, program ini cukup bermanfaat dalam menanamkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan penduduk setempat.
“Saya menyarankan agar Jalur Gemilang dipasang dan dikibar di segenap lokasi Taman Talang bagi menzahirkan rasa cintakan negara terutama ketika sambutan Bulan Kebangsaan ini.
“Saya juga gembira kerana kehadiran penduduk bersama keluarga hari ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya ketika berucap di Taman Talang sempena program ini, di sini baru-baru ini.
Program Merdeka@Komuniti Daerah Kuala Kangsar bersama Komuniti Keluarga Malaysia Taman Talang turut mendapat kerjasama dari KRT Taman Talang.
-ZS-