
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
IPOH, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) Peringkat Negeri Perak 2022 menyaksikan keunikan tersendiri apabila menemukan dua buah negeri dalam misi penyerahan baton Jalur Gemilang untuk dibawa menjelajah seluruh negara.
Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perak Hasan Ashaari Abu Bakar berkata baton ini menjadi simbolik semangat yang dibawakan oleh peserta konvoi kita untuk menyebarkan semangat Bulan Kebangsaan ke seluruh pelosok negeri.
“Hari ini merupakan hari pertama KMKM Perak dan kita bakal menerima baton daripada KMKM Selangor di Dataran Menara Condong, Teluk Intan.
Baton ini akan menjadi amanah kami untuk diarak ke seluruh daerah di negeri ini sebelum diserahkan kepada negeri jiran dalam usaha menaikkan semangat kibar Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan,” ujarnya ketika ditemuramah sempena pelepasan konvoi KMKM Perak di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada Isnin.
KMKM Perak dijadualkan berlangsung selama lapan hari sehingga 8 Ogos ini.
-ZS-