
Laporan/foto: Rose Rasidi
CAMERON HIGHLANDS, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM160,500 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk daerah Cameron Highlands semasa Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) tahun 2022 Fasa ke-2 yang berlangsung di Pusat Komuniti Majlis Daerah Cameron Highlands, Lembah Bertam di sini, baru-baru ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan tujuh bentuk sumbangan dan penyerahan iaitu sumbangan cek kerajaan negeri, penyerahan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP), Insentif kepada Guru-Guru KAFA, penyerahan Kit Sukan Bola Sepak kepada Sekolah Rendah DUN Tanah Rata, penyerahan Surat Tawaran Skim Tanah Rakyat (STR) Ringlet, penyerahan Surat Hak Milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Desa Anggerik Fasa 2 Mukim Tanah Rata serta sumbangan Bantuan Prihatin Pahang.
“Hasil kerajaan negeri Pahang pada tahun ini meningkat kepada 841 juta dan inilah yang dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk Bantuan Prihatin Pahang setelah ditolak kos-kos tetap berkaitan dalam kewangan kerajaan negeri,” ujarnya.
-ZS-