
Oleh Edawati Sulaiman @ Hod (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Kehidupan gelandangan di ibukota bakal berubah dengan adanya Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pahang.
Pusat ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Pihak SHARP Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad turut bekerjasama dalam memastikan kebajikan dan penyediaan barangan keperluan dan bantuan kewangan terjamin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan Perasmian Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Majlis perasmian dimulakan dengan upacara pemotongan reben dan tandatangan plak perasmian. Satu sesi taklimat ringkas mengenai pusat transit tersebut juga turut diadakan sebelum Najib dibawa melihat sekitar Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur
Pembinaan bangunan tiga tingkat yang dibina di atas tapak seluas 1,319 meter persegi ini bermula pada Februari 2015 dan siap sepenuhnya pada 28 November 2015. Ia mempunyai kemudahan asas seperti ruang penginapan untuk 250 orang, bilik mandi, tandas, bilik dobi, ruang makan, tempat agihan makanan, surau, bilik kaunseling, bilik kesihatan dan bilik simpanan makanan.
Sehingga 26 Februari tahun ini, seramai 141 orang telah mendaftar di pusat tersebut yang terdiri daripada 111 orang lelaki dan 20 orang wanita. Dari jumlah tersebut hanya 125 orang sahaja yang menginap di situ, manakala yang selebihnya hanya datang secara harian untuk menggunakan fasiliti yang ada. Bagi menampung kos operasi harian, kos elektrik dan air serta kos penyelenggaraan bulanan sejumlah wang yang diperuntukkan sebanyak RM20,000.00 sumbangan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Satu garis panduan telah digubal bagi membolehkan mana-mana pihak NGO yang ingin memberikan bantuan dari segi pengagihan makanan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan dapat dikawal selain memastikan agar pengagihan lebih teratur dan mengelakkan pembaziran.