
Laporan/foto: Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)
TAIPING, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 79 kaunter khidmat pelanggan dibuka sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 4 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini semalam.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kesemua kaunter tersebut melibatkan ketua jabatan dan agensi negeri bersama barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Sebanyak 15 reruai pameran dan enam perkhidmatan kaunter bergerak turut disediakan bahkan program kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk daerah lain yang hadir sama bagi membuat aduan secara bersemuka,” katanya dalam sesi sidang media.
Tambah Saarani, Program MESRA kali ini memberi sedikit kelainan kerana turut mengadakan Karnival Kerjaya Perak Sejahtera anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).
“Terdapat 15 syarikat yang terlibat dengan tawaran lebih daripada 3,600 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor industri dan peringkat jawatan,” katanya.
Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memberi peluang kepada rakyat menyelesaikan masalah melalui aduan secara bersemuka.
-ZS-