Laporan/Foto: Hisham Salleh/JaPen
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, komited untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC), sebelum akhir tahun ini, ataupun selewat-lewatnya pada sidang Parlimen Mac depan.
Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan proses tersebut masih perlu melalui beberapa fasa, sebelum ia dibawa ke Parlimen.
“Proses tersebut memerlukan satu memorandum mengenainya dikemukakan kepada Kabinet, kemudian melalui Pejabat Peguam Negara, dan seterusnya ke Parlimen,” ujarnya di sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital, bertempat di Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 3 Mei lepas, Fahmi menjelaskan draf RUU MMC tersebut masih berada di peringkat perbincangan dalam kalangan organisasi media, syarikat berkaitan, dan persatuan pengamal media.
Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia pertama kali disuarakan oleh peserta Hari Wartawan Nasional 2018, yang mewakili pelbagai pertubuhan media di seluruh negara — yang berperanan untuk mengekang berita palsu dan menjaga kebajikan pengamal media.
-HS-