Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Semangat Tinggi, Tidak Putus Asa Rahsia Kejayaan Usahawan Wanita

By 11 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Semangat perjuangan yang tinggi dan tidak mengenal erti putus asa menjadi rahsia kejayaan usahawan wanita tempatan ini.

Suhaila Sujak, 47, sering menjadi inspirasi kepada wanita di sini kerana berjaya membuka perniagaan spa mini dengan jenama Shilla Beauty.

“Tiga orang anak menjadi penguat untuk saya memandang ke hadapan dan mahu mengubah kehidupan dengan lebih baik.

“Selepas berpisah dengan suami, saya bekerja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) selama tiga tahun dan dalam pada itu saya turut mempelbagaikan keupayaan diri dengan mengikuti kursus peringkat sijil di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Batu Pahat,” katanya.

Suhaila yang berasal dari Ayer Hitam, di sini telah berkecimpung dalam bidang perbidanan merangkumi juruestetik dan juruterapi sejak 14 tahun yang lalu.

“Saya meneruskan kursus sehingga ke peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil VTO (Vocational Training Operation) atau Operasi Latihan Vokasional sebagaimana telah disarankan oleh Pegawai Tertinggi KEMAS ketika itu.

“Dengan adanya SKM dan Sijil VTO, maka saya layak untuk menjadi tenaga pengajar di Kolej Komuniti Batu Pahat bagi kursus pendek iaitu urutan Refleksiologi yang merupakan salah satu terapi dalam bidang perbidanan dan seringkali mendapat jemputan dalam program komuniti anjuran agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui di Program Desa Cergas 2023, semalam.

Menurut beliau, sekiranya ada mana-mana pihak yang mahu mengikuti kursus sijil kemahiran, mereka boleh mengikuti kursus di Jabatan KEMAS, GIATMARA dan Kolej Komuniti kerana agensi ini banyak membantu dan mendidik untuk memperoleh kemahiran yang diperlukan.

Beliau turut berpesan kepada masyarakat khusunya wanita suri rumah yang ingin mengubah ekonomi keluarga, golongan ibu tunggal, anak-anak lepasan SPM dan anak-anak yang tidak habis bersekolah boleh mempelajari ilmu kemahiran kerana ianya mendatangkan pendapatan yang lumayan.

“Kerajaan sentiasa membantu masyarakat melalui agensi yang berkaitan dengan menawarkan kursus-kursus kemahiran yang berkualiti tinggi,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda