Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Inisiatif FAMA Tapah Jual Beras di Pejabat Raih Pujian

By 6 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizzad Kamal/Juhannis Idris (Batang Padang)  

TAPAH, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Jualan beras putih tempatan (BPT) menerusi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di daerah ini, semalam menjadi tumpuan ramai.

Tinjauan di Pejabat FAMA Daerah Batang Padang dan Muallim menyaksikan orang ramai mula hadir ke pusat operasi tersebut seawal pukul 9.00 pagi bagi mendapatkan beras berkenaan dan kesemua 200 kampit beras yang dijual pada harga RM26 habis dijual sekitar pukul 11.00 pagi.

Suri rumah Syazana Izyan, 37, berkata inisiatif FAMA ini amatlah dipuji.

“Saya berharap FAMA dapat meneruskan jualan seperti ini bagi membantu rakyat terutama kepada pengguna yang kurang berkemampuan untuk membeli beras import,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, FAMA Negeri Perak dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa mereka telah menerima 60 metrik tan (MT) BPT untuk jualan sesi ketiga ini dengan jumlah keseluruhan beras yang telah diterima berjumlah 154 MT.

FAMA Negeri Perak mengadakan jualan intervensi BPT di enam pusat operasinya iaitu di Simpang Pulai (RTC Gopeng), Menglembu, Batu Kurau, Chui Chak, Manjung dan Bagan Datuk.

BPT yang dihantar ke Pejabat FAMA di Tapah adalah dari stok Pusat Operasi Chui Chak. BPT ini juga turut diedarkan ke outlet peruncitan FAMA. Langkah intervensi ini adalah sebahagian daripada Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

-ZS-

Tinggalkan komen anda